KUALA LUMPUR: Tujuh rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Penculikan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Senjata (Pindaan) 2022.

Selain itu, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.3) 2022 dan Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 turut dibentang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membentangkan rang undang-undang berkenaan berkata bacaan kali kedua dijadual dibentangkan pada mesyuarat kali ini.

Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 bagi meminda Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) antaranya bagi memberi hakim budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.

Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 pula antara lain menyatakan seseorang yang berdagang senjata api hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan disebat tidak kurang daripada 10 kali.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022 bertujuan menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan antaranya melibatkan pindaan kepada Seksyen 302 yang memberi budi bicara kepada hakim berkenaan dengan pengenaan hukuman mati.

Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 pula bertujuan meminda Akta Keadilan Jenayah 1953 (Akta 345) dengan memasukkan seksyen baharu 3A bagi menjelaskan terma pemenjaraan sepanjang hayat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image