KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk meninjau lebih banyak peluang perniagaan dengan Amerika Syarikat (AS), termasuk langkah untuk bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dalam menangani isu buruh paksa.

“Inisiatif untuk menubuhkan jawatankuasa kerja dengan CBP AS untuk menangani isu buruh paksa akan dapat menyelesaikan beberapa Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang belum selesai yang dikenakan ke atas beberapa pengeksport Malaysia ke AS,” kata Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan di sini hari ini.

Dakwaan mengenai amalan buruh paksa telah menyebabkan agensi sempadan AS mengeluarkan WRO terhadap beberapa syarikat Malaysia yang mengeksport produk mereka ke AS, terutamanya yang berada dalam industri sarung tangan getah dan minyak sawit.

“Dengan penubuhan jawatankuasa kerja itu, lebih mudah untuk menangani isu-isu tertunggak dengan AS dan pelbagai agensi yang berkaitan. Langkah yang diambil oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ini sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke AS sememangnya tepat pada masanya,” katanya.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Saravanan berkata jawatankuasa tersebut, yang akan bertemu setiap tiga bulan, memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa termasuk merangka polisi yang menyokong inisiatif menghapuskan kegiatan itu.

CBP AS turut dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung Mei ini dan menganjurkan bengkel bersama pemain industri.

“Bengkel ini akan memberikan penerangan mengenai perkara berkaitan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan oleh pemain industri supaya produk mereka tidak disekat untuk masuk ke pasaran AS,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image