KUALA PERLIS: Usaha berterusan McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyantuni masyarakat khususnya yang kurang berkemampuan perlu dicontohi oleh syarikat lain, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Menyantuni dan membantu golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim dan golongan asnaf merupakan satu kewajipan khususnya bagi mereka yang berkemampuan, lebih-lebih lagi melibatkan syarikat korporat besar,” titah baginda pada Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali Sekolah kepada pelajar di sekitar negeri ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar dan Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin berharap usaha itu akan dapat dilakukan secara berterusan bagi membantu ekonomi negeri terutama dari segi penyediaan peluang pekerjaan dan kemahiran.

Sementara itu Azmir berkata McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia membelanjakan sejumlah RM250,000 bagi pemberian Pek Kembali Sekolah yang mengandungi set alat tulis, buku latihan dan botol air kepada 250 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia turut menghulurkan sumbangan set kelengkapan bilik tidur berupa tilam, bantal dan cadar baharu bernilai RM15,000 kepada Teratak Rahmat Persatuan Al Islah Perlis bagi kegunaan anak yatim di pusat tersebut.

Azmir yang juga Presiden RMHC Malaysia berkata inisiatif kemasyarakatan itu merupakan teras McDonald’s Malaysia bagi mewujudkan impak positif kepada rakyat, lebih-lebih lagi komuniti di sekitar operasi cawangannya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image