SEARCH

Vaksin: Adun Telang Usan hadapi cabaran besar

10 Jun 2021 / 10:31 H.

KUCHING: Dalam berhadapan Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan (ADUN) Dennis Ngau(pix), bukan sahaja perlu membantu mengekang penularannya, malah beliau juga menghadapi satu lagi masalah besar yang perlu ditangani.

Beliau kini berhadapan ‘peperangan yang sukar’ dalam meyakinkan penduduk di dalam kawasannya untuk mendapatkan vaksin, bagi melindungi diri mereka dari virus itu.

Walaupun ia suatu yang sukar, namun beliau tetap tidak akan berputus asa.

Malah, Dennis yang telah pun menerima suntikan dua dos vaksin itu, menggunakan dirinya sebagai contoh terbaik, bagi meyakinkan masyarakat di kawasannya.

“Saya berdiri di hadapan mereka, menunjukkan kepada mereka yang saya masih berdiri, saya masih hidup. Saya minta mereka datang dan pegang saya. Saya beritahu saya bukan hantu. Sayalah YB (Yang Berhormat) anda,” katanya.

Perkara ini perlu beliau lakukan kerana maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19, telah menular di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan.

“Kami juga menemui video yang dibuat individu yang mendakwa sebagai pakar virus tersebut dan menyatakan perkara seperti, kita tidak perlukan vaksin, dan vaksin membawa maut dan ia boleh buatkan anda menjadi gila,” katanya.

Akibat terpengaruh dengan maklumat palsu itu, masyarakat di pedalaman seperti dari suku kaum Kayan, Kenyah dan Penan, telah membuat keputusan menolak untuk divaksinasi.

“Inilah yang terjadi di kawasan pedalaman, terutamanya pada masyarakat pribumi di kawasan saya,” katanya kepada Bernama.

Dennis berkata, sejak bermulanya Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di Sarawak Mac lepas, pelbagai usaha telah dilakukan pejabat Daerah Telang Usan bersama Klinik Long Lama bagi mendaftarkan seramai mungkin, selain menerangkan kepada masyarakat kawasan itu kelebihan mengambil vaksin.

Beliau berkata sehingga awal bulan ini, sejumlah 282 penduduk di kawasannya itu telah pun menerima suntikan kedua vaksin itu, dan ini telah memberikan sedikit keyakinan kepada penduduk Telang Usan, yang terletak di dalam Bahagian Miri.

“Usaha mempromosikan pengambilan vaksin ini adalah berterusan. Kami akan mengambil inisiatif masuk ke kampung-kampung dan rumah panjang, bagi memberikan penerangan dan penjelasan kepada masyarakat mengenai vaksin.

“Saya juga telah menghantar surat kepada kesemua ketua kampung di kawasan saya untuk senaraikan mereka yang berusia 18 tahun ke atas, jika mereka berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Dennis berkata, vaksinasi di Telang Usan kini dijalankan di SJK (C) Kee Tee, di pekan Long Lama.

Beliau berkata buat masa ini pusat vaksinasi itu, mampu menampung keperluan penduduk kawasannya itu, namun beliau berharap, lebih banyak pusat vaksinasi dapat dibuka pada masa hadapan, terutamanya di kawasan pedalaman.

“Saya berharap kerajaan dapat mengkaji cadangan saya. Di kawasan saya, terdapat beberapa klinik yang terletak lebih dekat dengan masyarakat di luar pekan, seperti klinik Long Bedian dan Long San,” katanya.

Sarawak menyasarkan untuk memvaksinkan 2.2 juta orang sehingga Ogos, dan sehingga 7 Jun sejumlah 119,459 orang telah pun melengkapkan penerimaan dua dos vaksin Covid-19. -Bernama

email blast