SIBU: Seramai 14 peniaga Pasar Tamu Sibu Jaya yang menjadi mangsa penipuan menggunakan wang palsu semalam telah membuat laporan polis.

Laporan tersebut diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu daripada peniaga yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

“Mangsa telah didatangi oleh seorang suspek perempuan berusia dalam lingkungan 40-an ditemani anak perempuan yang berusia lima tahun.

“Saspek telah membeli pelbagai barangan keperluan di pasar tersebut dan kesemua mangsa dibayar menggunakan wang kertas RM20 bernombor siri CD: 2748412,” katanya.

Menurut Zulkipli kesemua mangsa telah berurusan dengan suspek yang sama namun hanya menyedari mereka ditipu dengan wang palsu itu tiga jam kemudian apabila seorang mangsa mendapati wang kertas tersebut tidak berkualiti dan dakwat pada permukaan wang kertas telah cair.

Berikutan itu seorang daripada mangsa telah memuat naik video secara ‘live’ di laman sosial agar orang awam mengetahui perkara tersebut dan peniaga di pasar tamu lebih berwaspada.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan kesemua wang kertas RM20 tersebut telah diterima oleh pihak polis dan akan diserahkan kepada Bank Negara Malaysia untuk dianalisa ketulenannya.

Beliau menasihati orang ramai untuk membuat semakan dan meneliti wang kertas yang diterima dalam sebarang urusan perniagaan mereka bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. -Bernama