KUALA KRAI: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan RM2.2 juta untuk membantu perbelanjaan persekolahan bagi 1,800 pelajar daripada golongan B40 dan asnaf menerusi Skim Anak Angkat (SAA) pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Razman Yaacob (gambar), berkata daripada jumlah itu seramai 387 pelajar sekolah rendah dan 1,279 pelajar sekolah menengah telah menerima tajaan tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.01 juta dari Januari sehingga kini.

Katanya, menerusi skim tersebut, pelajar akan menerima wang saku bulanan RM80 bagi sekolah rendah dan RM100 bagi sekolah menengah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyalurkan peruntukan bantuan persekolahan menerusi siri jelajah program Tanggungjawan Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Pesisir Pantai YPM di Sekolah Kebangsaan Bahagia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Razman berkata 80 peratus dana yang diterima menerusi skim tersebut adalah sumbangan daripada syarikat korporat dan orang persendirian manakala selebihnya daripada dana YPM sendiri.

Katanya, SAA adalah skim diperkenalkan melalui Seksyen Pembiayaan Pendidikan (SPP) untuk peringkat sekolah manakala bagi pelajar Tingkatan Enam dan universiti pula, YPM turut memperkenalkan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP).

“Bagi SDEP kita akan salurkan sumbangan menerusi dua kategori iaitu dalam bentuk peralatan atau barangan seperti komputer riba dan wang tunai secara one-off antara RM700 hingga RM1,200 seorang,“ katanya.

Beliau berkata menerusi program CSR YPM di Kelantan, sebanyak RM38,000 telah diperuntukan kepada 355 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada golongan keluarga kurang berkemampuan supaya pelajar berkenaan tidak terpinggir dalam arus pendidikan.-Bernama