KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah membantu kira-kira 400,000 pelajar daripada golongan B40 menerusi pelbagai skim bantuan, setakat ini.

Ia termasuk skim bantuan pemakanan sekolah menengah, skim bantuan khas persekolahan dan skim bantuan awal ke institut pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif YWP Datuk Zaizalnizam Zainun berkata YWP berperanan membantu menaik taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan berpendapatan rendah dan memerlukan, sejak ditubuhkan 37 tahun lepas berdasarkan kluster pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“Sepanjang 2022, YWP telah meluluskan permohonan bantuan kepada 450 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan dan seramai 76 pelajar adalah dari kawasan Parlimen Bandar Tun Razak,” katanya pada majlis penyerahan cek skim bantuan awal ke IPT, surat tawaran Skim Mikro Kredit dan bantuan khas yang disampaikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Seramai tujuh pelajar diploma menerima cek skim bantuan awal ke IPT masing-masing berjumlah RM500 manakala 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda masing-masing menerima RM1,000 secara sekali bayar.

Sembilan peniaga dan penjaja berlesen pula menerima surat tawaran Skim Mikro Kredit YWP yang menawarkan pinjaman modal perniagaan maksimum RM5,000.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menyampaikan bantuan khas YWP berupa wang tunai RM500 kepada seorang penerima, Mariah Shaari yang menanggung seorang anak saudaranya yang merupakan Orang Kurang Upaya pembelajaran. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image