KUALA LUMPUR: Zoo Negara mengesahkan tiada harimau terlepas dari premisnya susulan tular insiden haiwan itu dikatakan dilihat di sebuah kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Kelang di sini, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak.

Bagaimanapun, beliau berkata polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berusaha menjejaki haiwan itu namun gagal kerana maklumat yang diperoleh tidak lengkap.

Katanya seorang pengawal keselamatan yang didakwa terserempak dengan harimau itu tidak dapat dikesan sehingga kini dan tiada maklumat lanjut diperoleh berhubung individu terbabit.

“Bagi menjamin keselamatan penduduk, polis mempertingkat rondaan sekitar tempat kejadian,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Farouk berkata Perhilitan masih berada di tempat kejadian dalam usaha mengesan harimau terbabit namun setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden itu selain tiada saksi yang tampil memberi keterangan.

Beliau menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan mengingatkan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang belum disahkan.

Tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini bahawa seorang pengawal keselamatan warga asing telah terserempak dengan haiwan liar itu berdekatan tiang lampu di Kemensah Height. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image