KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti Barat, Batu Ampat, di sini sejak semalam, berjaya menemui jalan keluar.

Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata Neo Thiam Ming, 40, keluar dari hutan kira-kira pukul 4.20 petang tadi dan telah turun sendiri ke pusat kawalan bantuan.

“Beliau dalam keadaan selamat dan (kes) seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, Neo menghubungi Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) kira-kira 7 malam semalam (Sabtu) memaklumkan beliau telah tersesat.

Susulan itu, pasukan operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi tersebut diketuai Polis Diraja Malaysia dan dibantu agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pasukan Multi-Skill Team (MUST), Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image