KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang baru ditubuhkan membuktikan bahawa kerajaan komited untuk menangani isu mendesak yang melanda masyarakat dan mengambil berat mengenai masalah rakyat, sekali gus menangkis tohmahan sesetengah pihak.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata parti itu mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai penubuhan pasukan petugas khas itu dan menggesa petugas agar meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Kami menerima banyak maklum balas mengenai tindakan sesetengah peniaga menaikkan harga dan dalam beberapa kes, barangan dijual elebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan mesti dilihat bertindak dalam membanteras perniagaan degil ini dan mengambil tindakan sewajarkan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata PBM optimis bahawa usaha pelbagai kementerian dapat membantu membendung inflasi pada kadar yang terurus dan meminta rakyat Malaysia agar menyedari bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan terutamanya oleh faktor luaran seperti perang di Ukraine, gangguan rantaian bekalan dan keadaan cuaca global yang tidak menentu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menarik perhatian bahawa berbanding negara lain, termasuk negara maju, Malaysia mempunyai rekod prestasi baik dalam mengekalkan tekanan inflasi.

“Sebagai contoh, United Kingdom baru-baru ini mengumumkan bahawa kadar inflasinya berada pada 9.1 peratus, tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Di Amerika Syarikat, ia adalah 8.6 peratus, juga tertinggi empat dekad, manakala di Malaysia, kadar inflasi bagi Mei adalah pada 2.8 peratus, seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini,” katanya.

Zuraida berkata kerajaan juga patut dipuji kerana menetapkan harga siling ayam pada RM9.40 sekilogram kerana ini akan membolehkan rakyat Malaysia membeli bahan makanan itu pada harga yang berpatutan.

Semalam, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image