SEARCH

Covid-19: Persiapan atlet M’sia ke Sukan Olimpik terkesan

15 Mar 2020 / 09:29 H.

KEPALA BATAS: Persiapan para atlet Malaysia terkesan akibat pembatalan dan penangguhan kejohanan sukan di dalam dan luar negara, berikutan penularan Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) berkata, setakat ini 12 atlet negara telahpun berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sudah tentu ia memberi kesan perancangan program sukan, khususnya yang melibatkan proses kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, di mana banyak pertandingan yang telah dibatalkan,“ katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata masih terdapat seramai 23 atlet, yang sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik.

Para atlet bukan sahaja Malaysia, malahan seluruh dunia terkesan persiapan mereka, kerana kebanyakan mereka akan berada pada prestasi terbaik mereka, semasa kejohanan-kejohanan yang ditunda itu.

“Jadi, sekarang mereka terpaksa buat perubahan semula program latihan mereka untuk mencapai prestasi terbaik pada kejohanan yang lain, tetapi masalah baru pula ialah ketidaktentuan bila pula kejohanan yang akan datang, akan berlangsung,“ katanya.

Beliau akan melawat Majlis Sukan Negara minggu depan, untuk mendapatkan taklimat berhubung persiapan atlet ini.

“Saya akan dapat perkembangan terbaru mengenai persiapan atlet, sebelum saya membuat apa-apa tindakan,“ katanya.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata tiga pemain hoki negara yang menghadiri yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini, telah menjalani saringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi.

Keputusan saringan mereka negatif, namun dinasihatkan untuk kuarantin di rumah selama tujuh hari.

“Mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dibenarkan balik ke rumah. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu di kuarantin seminggu di rumah, sebelum kesihatan mereka diperiksa semula,“ katanya. — Bernama

email blast