KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengenai langkah-langkah bersesuaian bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkataa sebagai Menteri Komunikasi beliau mengalu-alukan kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu untuk bekerjasama dengan Malaysia.

“Kita tidak semestinya terima bulat-bulat cadangan mereka, tetapi untuk kita kaji dengan mendalam dan lihat apakah yang sesuai untuk Malaysia,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2024 (IRC 2024) di sini hari ini.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 disiarkan RSF baru-baru ini menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga berbanding di kedudukan 73 pada tahun lepas, dengan memperoleh skor 52.07 mata.

Mengulas lanjut Fahmi berkata beliau menerima baik laporan berkenaan, namun ia bukanlah satu kayu ukur yang sejati dalam menentukan tahap kebebasan media di negara ini.

Fahmi berkata Indeks Kebebasan Media Dunia itu juga tidak hanya berkaitan dengan Kementerian Komunikasi semata-mata tetapi ia juga melibatkan akta-akta di bawah beberapa kementerian berbeza.

“Sebagai contoh, isu-isu berkaitan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu itu dan kesesuaian beberapa perkara dalam acuan ASEAN atau (adat) ketimuran,“ katanya.

Beliau turut membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membandingkan kedudukan Malaysia dengan Israel dalam indek berkenaan.

“Berbeza dengan Israel, kita tak bunuh orang seperti yang berlaku di Gaza. Kita juga tidak tutup mana-mana media seperti yang berlaku semalam, Israel tutup dan geledah pejabat Al Jazeera,“ katanya.

Mengenai isu penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Fahmi berkata Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah mengesahkan ia bukan sebahagian daripada kempen kedua-dua belah pihak.

“Individu terbabit telah ditahan, jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan jika terbukti berlaku kesalahan, maka Jabatan Peguam Negara boleh bawa kes ke mahkamah. Jadi, kita ikut saluran itu,“ katanya.

Menurut laporan media dua individu yang ditahan kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan dalam kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah hari ini.