KUALA LUMPUR: Sebanyak 196 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan disediakan untuk pengunjung Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Ahmad Jefry Aziz@Adan berkata antara perkhidmatan yang disediakan ialah semakan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Pulau Pinang dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

“Kita juga menyediakan reruai untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Beliau berkata program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui PACU dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu turut diisi dengan Karnival Kerjaya yang menyediakan 2,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu Setiausaha Bahagian Pentadbiran Kementerian Pengangkutan Stien Van Lutam berkata pihaknya akan menyediakan perkhidmatan antaranya Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mobile, program penukaran topi keledar lama dan servis pembaharui lesen memandu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Abdul Kahar Abdullah pula berkata majlis perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Zon Utara pada 5 Mei dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024.

“Saya menyeru pengunjung khususnya di zon utara untuk datang beramai-ramai supaya kita dapat bersama-sama menikmati kemudahan dan insiatif kerajaan serta menyambut sambutan Aidilfitri MADANI ini,” katanya.

Sementara itu urusetia program berkenaan dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan bas perantara disediakan bermula 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari program berlangsung.

Terdapat dua laluan disediakan meliputi laluan satu dengan penumpang boleh naik dan turun di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia ke Tapak Pesta Sungai Nibong dengan kekerapan setiap 30 minit.

Bagi laluan dua, pengunjung boleh ke Terminal A, Weld Quay ke Queensbay Mall sebelum ke lokasi program dengan kekerapan setiap 45 minit.