GUA MUSANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghentikan siasatan berhubung kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (pix) berkata ketika ini, siasatan kes itu sedang berada pada peringkat SPRM menghubungi pihak-pihak berkaitan di luar negara, bagi mengambil keterangan.

“Saya menafikan dakwaan pihak-pihak luar yang mendakwa siasatan kes LCS dihentikan, sedangkan siasatan kes ini masih aktif diteruskan.

“Selain itu, SPRM juga sedang membuat permohonan Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) melalui pihak Jabatan Peguam Negara untuk beberapa permohonan (dokumen dan bukti) yang dikehendaki kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu, di sini, hari ini.

Azam berkata kes LCS mengambil tempoh masa yang lama untuk menyiasatnya, kerana perlu mengesan jejak wang selain terdapat beberapa individu dalam kes itu yang telah dituduh.

“SPRM tidak akan mencampuri hal pentadbiran LCS, yang mana melibatkan kerajaan dalam urusan melaksanakan projek ini seperti bajet yang diberi untuk LCS.

“Siasatan SPRM berpandukan dan berfokus pada salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di dalam LCS,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene, Azam berkata siasatan kes berkenaan masih berterusan dan tidak pernah dihentikan.

“Ketika ini SPRM masih lagi berhubung dengan pihak-pihak berkaitan di luar negara bagi mendapatkan maklumat dan keterangan berhubung beberapa transalsi yang dijalankan.

“Alhamdulillah, ada petanda-petanda positif dari pihak luar negara yang memberikan permohonan (dokumen dan bukti) yang dikehendaki kami,” katanya.

Azam berkata beliau akan makluman hasil dapatan siasatan kes berkenaan apabila telah lengkap.

Pembelian dua kapal selam Perancis itu dilakukan pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menjadi menteri pertahanan ketika itu.

Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir €1 bilion (US$1.17 bilion).

Kapal selam itu yang dinamakan Kapa Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010, dan kedua-duanya dilaporkan terbabit dalam pelbagai rutin di dasar laut.