KUALA LUMPUR: Standard Chartered Global Research menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada tiga peratus pada mesyuarat dasar monetari yang akan datang pada 9 Mei ini.

Menurut firma penyelidikan itu, pihaknya akan memantau sebarang perubahan terhadap prospek inflasi oleh bank pusat untuk menilai kemungkinan kenaikan pada akhir 2024.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama berdaya tahan pada 3.9 peratus tahun ke tahun tetapi lebih rendah daripada yang kami jangkakan pada akhir 2023.

“Inflasi kekal rendah sehingga Mac, walaupun peningkatan dua mata peratusan untuk cukai perkhidmatan, menunjukkan kenaikan yang terhad; ini mencerminkan inflasi teras yang rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, katanya perkembangan terkini, mungkin telah meningkatkan kemungkinan kenaikan pada akhir 2024.

“Pertama, penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – yang boleh membawa kepada anggaran pengeluaran RM25 bilion (kira-kira 1.3 peratus daripada KDNK) – dijangka akan meningkatkan inflasi yang didorong oleh permintaan.

“Kedua, gaji perkhidmatan awam mungkin dinaikkan lebih 13 peratus mulai Disember dan ketiga, rasionalisasi subsidi bahan api yang mungkin dilaksanakan pada 2025 atau lebih awal, menambah risiko kenaikan,” katanya.