MUAR: Ibu bapa dan guru perlu cakna tentang kesihatan anak-anak dan pelajar sebelum mereka menjalankan aktiviti luar bilik darjah termasuk acara larian merentas desa ketika musim panas ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu penting bagi mengelakkan anak-anak atau pelajar terdedah kepada sebarang risiko berbahaya khususnya ketika terlibat dalam aktiviti luar kelas.

“Ini adalah satu peringatan tegas, jangan didedahkan anak-anak kepada risiko di luar kemampuan mereka. Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa konsisten mengeluarkan nasihat supaya mengelakkan anak-anak terdedah kepada risiko hidrasi.

“Ibu bapa perlu jujur (maklumkan kesihatan anak) dan pihak sekolah tidak memaksa anak-anak terdedah kepada situasi itu atas faktor risiko. Sangat mustahak perkara ini diambil perhatian,“ katanya kepada pemberita selepas Sambutan Aidilfitri Amanah Johor di Kampung Parit Keroma di sini hari ini.

Ditanya sama ada pihak sekolah perlu mempunyai maklumat berkaitan status kesihatan pelajar, beliau berkata KKM akan memperhalus perkara berkenaan.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata seorang pelajar tingkatan dua meninggal dunia ketika menyertai acara larian merentas desa peringkat sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Syahrul Anuar dipetik berkata Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, rebah kira-kira 50 meter sebelum ke garisan penamat bagi acara larian itu kira-kira 9.30 pagi.