ISKANDAR PUTERI: Polis menahan dua lelaki dan empat wanita warga asing disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dan perjudian dalam talian di sebuah kondominium di Puteri Harbour, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata serbuan di premis yang dipercayai beroperasi sebagai “pusat panggilan” itu dilakukan pada 5.30 petang.

Beliau berkata ketika serbuan kesemua individu berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu sejak sebulan lepas, sedang leka melayan “pelanggan” masing-masing.

“Modus operandi adalah menyasarkan mangsa dari luar negara, namun belum ada mangsa yang dikenal pasti setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu antaranya komputer riba dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang menjanjikan keuntungan lumayan secara mudah terutama secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.