KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) meningkatkan kutipan hasil hutan untuk mencapai sasaran RM165 juta yang ditetapkan pada tahun ini.

Beliau berkata sasaran itu perlu dilaksanakan melalui pengeluaran hasil hutan sebanyak 920,000 meter padu dari kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan tanah bergeran.

Menurut beliau, setakat Mac lepas, JPS berjaya mengutip sekitar RM39.7 juta atau 24 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan jika momentum ini berterusan JPS mampu mencapai kutipan hasil melebihi sasaran.

“Saya berharap semua warga kerja JPS bekerja keras untuk memastikan usaha ini tercapai dan meneroka lebih banyak peluang penjanaan hasil, termasuk aktiviti rekreasi berasaskan hutan dan pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata hasil kutipan boleh dipertingkatkan menerusi perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+), bekalan tenaga hijau dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Tahun lepas JPS berjaya mengutip RM1.64 juta daripada rekreasi hutan atau dua peratus daripada keseluruhan kutipan hasil hutan yang telah memberi impak sangat besar kepada usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di negeri ini.

Hajiji berkata bagi memperkasakan tatakelola pengurusan hutan, JPS menyasarkan semua kawasan hutan diberikan sijil di bawah mana-mana skim pensijilan yang diterima di peringkat antarabangsa menjelang 2025 dan seluas 280,616 hektar kawasan pengurusan hutan menerima sijil setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui JPS akan memperkenalkan dan menyemak semula standard Sabah Timber Legality Assurance Sistem (Sabah TLAS).

Langkah itu sebagai sistem ‘due diligence’ seiring dengan keperluan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang diperkenalkan Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2022.

Mengenai kawasan ladang hutan, Hajiji berkata kerajaan Sabah menyasarkan seluas 18,000 hektar kawasan dibangunkan setiap tahun bagi mencapai sasaran 400,000 hektar ladang menjelang 2036, seiring dengan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036).