LABUAN: Jabatan Imigresen Labuan telah menahan 52 pendatang tanpa izin dalam tempoh Januari hingga 30 April tahun ini menerusi siri operasi menyasarkan titik panas di sekitar pulau bebas cukai itu, kata pengarahnya Raymond Entalai.

“Pendatang tanpa izin terbabit, kebanyakannya warga Filipina dan Indonesia, didapati tanpa dokumen perjalanan yang sah, dengan sebahagian mereka memiliki pas lawatan yang telah tamat tempoh dan tiada permit kerja,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata usaha jabatan itu telah membawa kepada pengenalpastian dan pengesanan individu yang melanggar undang-undang imigresen, selain mengetengahkan kepentingan kerjasama orang awam dalam membantu operasi.

“Kejayaan operasi kami adalah susulan maklumat orang awam...sepanjang tempoh empat bulan ini, sebanyak 833 individu disaring, dengan hanya segelintir didapati melanggar peraturan imigresen,“ katanya.

Selain itu, Raymond berkata 18 warga asing telah mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM) terdiri daripada 15 warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak serta tiga rakyat Pakistan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Labuan komited dalam memastikan ketelusan sistem imigresen pulau itu dan akan terus melaksanakan operasi untuk menangani aktiviti imigresen haram.