KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju untuk mencari penyelesaian bersama secara tuntas berhubung isu Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ketetapan itu dicapai setelah beliau mengadakan perbincangan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut dihadiri wakil KPT, KKM, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“KPT dan KKM mempunyai niat dan hasrat yang sama, iaitu mencari solusi kepada isu yang berlaku secara tuntas dan sesegera mungkin. Insya-Allah keputusan akhir kepada isu ini akan dikongsikan selepas beberapa cadangan melalui memorandum yang akan dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Zambry berkata pertemuan yang dipengerusikannya bersama Dzulkefly itu telah membincangkan mengenai jalan penyelesaian bersama bagi memberi jaminan ilmu yang diperoleh para pelatih mematuhi piawaian ditetapkan.

“Pada masa sama, KPT juga merasakan para pelajar dan lepasan program ini tidak dijadikan mangsa keadaan kepada mana-mana situasi berkenaan teknikal yang boleh dicari solusi untuk diselesaikan.

“Atas dasar itu, KPT dan agensi di bawahnya termasuk MQA terbuka untuk membincang dan memberi kata putus kepada usaha untuk menjayakan agenda nasional bagi meningkatkan jumlah pakar perubatan negara seterusnya memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan di bawah KKM akan mencapai tahap optimum,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut membincangkan pengukuhan kolaborasi strategik di antara KPT dan KKM bagi memastikan hasrat melahirkan 28,000 pakar perubatan dalam negara menjelang 2030 dapat dicapai.