SEREMBAN: Seorang jururawat wanita ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di luar kereta dengan enjin yang masih hidup dipercayai dipukul di tepi jalan dekat simpang tiga, Dangi, Johol dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata mangsa yang berusia 30-an itu lengkap berpakaian uniform putih ditemukan orang awam kira-kira 10 malam.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan balik ke rumahnya di Durian Tunggal daripada tempat kerjanya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) melalui Dangi.

“Buat masa ini mangsa masih dirawat di HTAN dan kami masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.

“Bagaimanapun mengikut keterangan awal, mangsa memaklumkan tidak dirompak sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi mangsa hilang,” katanya kepada Bernama.

Syahrul Anuar berkata susulan itu pihaknya kini mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat memaparkan kejadian itu di media sosial sejak pagi tadi.