PADANG BESAR: Kadar penerimagunaan 5G di negara ini telah mencecah hampir 36 peratus setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia pencapaian yang baik memandangkan penerimagunaan 5G sebelum ini agak rendah iaitu sekitar 12 hingga 15 peratus sahaja pada November 2023.

“Jadi dalam tempoh cuma lima, enam bulan kita telah berjaya meningkatkan daripada 15 peratus lebih kurang ke lebih 35 peratus...hampir 36 peratus sekarang. Jadi saya lihat ramai yang memanfaatkan (rangkaian 5G) terutama pakej-pakej 5G yang disediakan.

“Saya juga baru-baru ini telah meminta supaya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti supaya kita boleh mempertimbang adakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan rangkaian 5G untuk menyediakan pakej 5G bagi mahasiswa,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar Utara, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata kerajaan dijangka mengumumkan rangkaian kedua 5G pada minggu hadapan yang dilihat akan membawa implikasi positif dan besar dari segi liputan serta penerimagunaan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk melihat beberapa perkara bagi membantu menyediakan Internet lebih murah dan pantas di sekolah seluruh negara.

“Terdapat lebih 4,000 sekolah yang menjadi lokasi untuk projek PoP dan sejumlah sekolah-sekolah ini kita harap sekolah-sekolah di luar bandar khususnya, akan dapat manfaat dengan penyediaan Internet yang lebih laju dan lebih murah melalui projek PoP.

“Jadi saya telah minta Datuk KSU (Mohamad Fauzi) untuk berbincang dengan pasukan Kementerian Pendidikan juga melalui MCMC untuk memaklumkan semua penyedia perkhidmatan Internet yang terlibat dalam program PoP supaya bersedia untuk menyediakan Internet lebih murah dan lebih laju kepada sekolah terlibat,“ katanya.

Sebanyak 437,000 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi menjelang akhir 2025 menerusi pembinaan rangkaian Hab Gentian Optik PoP bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pembinaan 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP di kawasan perindustrian, yang melibatkan peruntukan RM4.6 bilion, dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 677 PoP bermula 2021 hingga kini, manakala fasa kedua dilaksanakan dari 2022 hingga 2025 meliputi 3,693 PoP.