PENAMPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sebanyak 8,880 individu menyertai Program Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang (KLAS Renang) di seluruh negara tahun ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata program secara percuma itu menyasarkan 7,680 kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40, Orang Kurang Upaya (OKU) berusia enam hingga 15 tahun dengan 600 peserta, dan warga emas 60 hingga 75 tahun seramai 600 peserta.

“Saya berharap program ini akan menjadi popular, jika ada banyak permintaan kita akan minta Ahli-Ahli Parlimen bantu bersama-sama untuk menjayakan program ini,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan KLAS Renang di sini hari ini.

Hannah berkata pada tahun ini, KBS lebih memberi fokus kepada warga emas bagi membolehkan golongan itu kekal cergas dan aktif selain mempelajari kemahiran baharu bagi mereka.

Pendaftaran KLAS Renang Fasa Satu kini dibuka bermula bulan ini hingga Jun depan dan program akan diadakan di 222 lokasi yang mempunyai fasiliti kolam renang.

Dalam pada itu, Hannah berkata kementeriannya juga sedang berbincang bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri yang mempunyai kolam renang untuk dibaiki bagi kegunaan awam.

Beliau berkata ia penting kerana sebelum ini terdapat beberapa kolam renang ditutup kerana faktor kos operasi yang tinggi.

Sementara itu, peserta KLAS Renang, Lee Kok Fui, 57, berkata dia berminat menyertai aktiviti itu kerana latihan renang mampu memberi manfaat kepada kesihatan.

Lee berkata apabila mengetahui tentang program itu, dia cuba untuk memohon dan mendaftar meskipun hanya mengetahui asas berenang.

“Sikit-sikit sahaja, tiada guru ajar. Saya harap saya boleh mahir berenang dan lebih sihat lagi,“ katanya yang berasal dari Penampang.

Janet Tye, 69, pula mengetahui program KLAS daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Luyang yang disertainya sebelum mendaftar menyertainya.

Tye berharap selepas menyertai KLAS Renang selama enam sesi itu, dia dapat mempelajari kaedah dan kemahiran berenang sekali gus mampu menyelamatkan diri dalam keadaan yang diperlukan.

“Belum terlambat untuk belajar (berenang), saya berusia 69 tahun. Saya ingin berterima kasih kepada Menteri Hannah Yeoh, yang merealisasikannya untuk kami terutama warga emas,” katanya.