SANDAKAN: Seramai 146 orang tinggal sehelai sepinggang apabila 22 rumah musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan berkeluasan 0.40 hektar atau satu ekar di Kampung Mangkalinau Parti di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.19 petang.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.41 petang, seramai 46 pegawai serta anggota melibatkan polis, bomba, Sabah Electricity Sdn Bhd serta pihak kebajikan bertugas di lokasi kejadian,“ katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Katanya semua mangsa terdiri daripada 44 lelaki, 47 wanita dan 55 kanak-kanak akan ditempatkan di pusat penempatan sementara di Dewan Taman Harmoni di sini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.