PAPAR: Papar memerlukan bekalan air bersih sekurang-kurangnya tujuh juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terjejas akibat kemarau susulan masalah bekalan air kritikal di daerah itu, kata Ahli Parlimennya Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata setakat semalam, proses penghantaran air di kawasan terjejas hanya melibatkan sebanyak 1.18 JLH, jauh daripada kapasiti diperlukan penduduk.

“Kita telah mula menghantar bekalan air ke kawasan terjejas pada 23 Feb lepas dan sebaik sahaja bencana kemarau diumumkan dan diisytiharkan secara rasmi pada 13 Mac, kita telah menambah kapasiti penghantaran bekalan air ini menggunakan lori dan sebagainya. Peringkat awal iaitu sebelum bencana diumumkan, kita menghantar dalam 600,000 JLH.

“Kita akan berusaha lagi untuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak swasta dalam aspek membekalkan lori bersesuaian untuk menghantar bekalan air,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghantaran bekalan air bersih di Kampung Kuala Dalam Papar di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Sebanyak 150,000 penduduk Papar terjejas akibat bencana itu, selain 42 kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat.

Armizan berkata bekalan air bersih akan dihantar secara berkala di kawasan mempunyai tangki statik dan pihaknya juga akan mengenal pasti kawasan yang tidak mempunyai kemudahan itu seperti kampung-kampung kecil serta perumahan bertingkat, seterusnya menyelesaikan isu berkenaan supaya penduduk mendapat bekalan air secukupnya.

Beliau berkata beberapa daerah seperti Beaufort dan Ranau turut menghulurkan bantuan dengan menggerakkan aset masing-masing bagi memudahkan proses penghantaran bekalan air bersih ke kawasan terjejas.

“Kita perlu menggunakan peruntukan yang ada untuk sewaan lori (tangki air) dan sebagainya bagi membolehkan kita membantu masyarakat. Ia akan diteruskan sehingga isu ini dapat ditangani dan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) dan LRA Jetama beroperasi sedia seperti sediakala,“ katanya.