KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini petang tadi, dijangka selesai malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata setakat ini laluan tersebut ditutup kepada kenderaan bagi kerja pembersihan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Buat masa ini kita telah menutup jalan dan arahkan kenderaan untuk menggunakan laluan lain...dijangkakan hingga malam ini baru selesai proses pembersihan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata kebanyakan pokok di sekitar Kuala Lumpur sudah berusia 50 hingga 80 tahun dan pihaknya dimaklumkan pemantauan terhadap pokok berkenaan dilakukan syarikat swasta yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur setiap dua tahun.

“Mungkin ada keperluan untuk melihat garis panduan kepada pemuliharaan (pokok) sekitar Kuala Lumpur bagi mengelak kecelakaan pada masa depan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.