PETALING JAYA: Polis sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan insiden pemain sayap sensasi skuad Harimau Malaya, Faisal Halim di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah, suspek dipercayai ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat.

“Kita sudah pun ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan di situ, kita masih lagi menunggu analisa cap jari ini dan ia memberi gambaran positif serta mendekatkan diri kita kepada suspek terbaharu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti wajah suspek dan sebagainya kerana suspek memakai topi dan CCTV tidak menjurus ke arah wajah suspek.

Mengenai suspek yang ditahan sebelum ini, beliau berkata pihaknya masih menjalankan soal siasat ke atasnya dan tiada sebarang maklumat baharu diterima.

“Kita masih lagi jalankan soal siasat dan ia masih lagi di peringkat permulaan untuk saya kongsikan sebarang perkembangan,“ katanya yang menambah polis turut menghubungi dua pengurusan tertinggi Selangor FC untuk diambil keterangan berhubung laporan polis yang dibuat.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily berkata tiada sebarang penangkapan terbaharu yang dilakukan dan meminta orang ramai tidak mempercayai mana-mana laporan tidak sahih yang diterbitkan oleh mana-mana portal berita tidak sah.

Sebelum ini, Faisal telah diserang oleh individu tidak dikenali dengan asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang yang mengakibatkan beliau melecur tahap empat pada badan dan muka.

Terdahulu, Mohd Shuhaily meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi melawat lokasi insiden tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.