MANJUNG: Kerajaan memberi tumpuan meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga kerja tempatan khususnya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menampung keperluan permintaan tenaga kerja yang bakal dijana hasil dari penerimaan pelaburan besar diraih negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir jsuteru penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) Universiti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menjadi penanda aras tahap kesediaan negara dalam industri ini yang akan memberikan impak kepada negara.

Beliau berkata AI bukan sekadar teknologi, tetapi impak yang terhasil akan meliputi pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) umpamanya, Malaysia dijangka memerlukan 30,000 tenaga mahir dalam sektor itu nanti, malah mungkin lebih lagi.

“Kita optimis dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang kita dapat memenuhi keperluan pelaburan yang mencurah masuk dalam negara dan kita perlu sediakan tenaga mahir dalam bidang ini supaya seiring dengan negara-negara lain.

“Bagi peringkat pengambilan awal kita jangka mungkin kumpulan pertama melalui Sarjana, Diploma dan Sijil termasuk kursus jangka pendek yang berkaitan, dapat memenuhi permintaan tinggi tenaga mahir bidang AI dalam negara,“ katanya dalam sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI KPT di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dekat sini hari ini.

Zambry berkata langkah meningkatkan tenaga mahir bidang AI juga seiring dengan kedudukan Malaysia yang mempunyai gabungan faktor unik dan menjadi hab pelaburan utama di Asia Tenggara.

“Krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China secara tidak langsung memberi impak positif kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan amat wajar kita mengambil peluang itu,” katanya.

Beliau berkata keperluan tenaga mahir sudah berubah mengikut peredaran zaman dan ia tidak hanya tertumpu kepada sesuatu bidang semata-mata.

Zambry sebelum ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan majlis perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di Malaysia pada 10 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebagai permulaan program Ijazah Sarjana Muda AI telah diluluskan pada peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT), Januari lepas, dan pelajar kohort pertamanya akan memulakan pengajian pada Oktober ini.