ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam usaha meningkatkan sistem dan kualiti pendidikan negara, titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Baginda bertitah perubahan penting perlu dilaksanakan dengan membaharui sukatan pelajaran yang digunakan pada masa ini.

“Saya sering menekankan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor, pendidikan berkualiti ialah asas kemajuan negeri ini dan penting bagi menyelesaikan pelbagai isu. Pendidikan berkualiti juga akan buka banyak peluang pekerjaan bagi generasi akan datang.

“Saya berharap kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kualiti sistem dan pendidikan. Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan dengan memperbaharu sukatan pelajaran yang sudah tidak relevan lagi,“ titah Pemangku Sultan Johor.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

“Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah Johor jadi negeri yang pertama untuk mengubah sukatan pelajaran sekolah di Johor,“ titahnya.

Baginda bertitah kerajaan Persekutuan perlu menerima hakikat Laporan Bank Dunia berhubung kedudukan terkini pelajar di negara ini.

“Jika kita masih tidak dapat terima hakikat seperti yang dinyatakan dalam Laporan Bank Dunia baru-baru ini, kedudukan terkini pelajar kita dalam peperiksaan, maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa depan kurang berdaya saing berbanding rakan sejagat,“ titah baginda.

Pada 24 April lepas, Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills antara lain menyatakan walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan negara, tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan.