KUALA LUMPUR: Perlawanan Piala Sumbangsih antara Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Jumaat ini akan tetap diteruskan mengikut jadual, demikian menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

MFL mengambil keputusan untuk mengekalkan ketetapan tarikh perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu yang dijadual berlangsung minggu ini berdasarkan jaminan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keselamatan dipertingkatkan di setiap perlawanan Liga-M musim ini.

Berikutan jaminan keselamatan pihak polis, MFL terpaksa menolak permohonan SFC untuk menangguhkan perlawanan Piala Sumbangsih atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan susulan insiden serangan membabitkan pemain Liga-M.

“”Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Perlawanan Sumbangsih antara JDT dan SFC sudah diberikan oleh Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas,”menurut MFL dalam kenyataan di sini.

MFL dalam masa sama melahirkan rasa simpati dan kesal di atas insiden yang menimpa tiga pemain Liga-M, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Terengganu FC), Faisal Halim (Selangor FC) dan Safiq Rahim (JDT).

“Jelas insiden berasingan ini menggemparkan negara khususnya penyokong bola sepak tempatan yang kini bersatu menyatakan sokongan dan mendoakan agar pemain terlibat dalam keadaan baik.

“MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polisnya akan dipertingkat bagi memastikan kelancaran saingan liga tersebut.

Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Mohamad Faisal disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor dan insiden berlaku selang beberapa hari seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar cedera disamun di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Insiden itu kian memburuk semalam, apabila satu kejadian serangan terhadap kereta pemain pasukan JDT Safiq Rahim berlaku menyebabkan cermin belakang keretanya dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru.