BANGKOK: Malaysia dan Thailand bersetuju mempertingkatkan kerjasama untuk membanteras jenayah rentas sempadan, isu pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kerjasama itu telah dibincangkan ketika mesyuarat dua hala beliau dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand Anutin Charnvirakul pada Khamis.

“Kami berdua bersetuju bahawa kerjasama antara kerajaan (G2G), antara polis dan Aseanapol penting dalam memerangi masalah-masalah tersebut,“ katanya kepada Bernama.

Saifuddin juga menekankan keperluan untuk usaha bersama dalam pencegahan jenayah siber dan cadangan pengecualian visa kepada pelawat asing untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke Thailand khususnya di kawasan yang bersempadan dengan Malaysia.

Selain itu, Saifuddin berkata beliau amat berpuas hati dengan hasil lawatan kerjanya di Bangkok yang berakhir Jumaat kerana komitmen antara G2G itu terus berjalan dengan kukuh.

Beliau berkata rakan sejawatnya Anutin turut menegaskan kesediaan Thailand untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menangani jenayah transnasional dan mempromosikan pelancongan.

“Anutin menyebut bahawa Kerajaan Thailand juga melaksanakan dasar pengecualian visa (pelawat asing) untuk meningkatkan pertukaran pelancong antara kedua-dua negara.

Anutin turut menyatakan komitmen untuk memperdalamkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai dimensi, termasuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di rantau ini. Pertemuan itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,“ katanya.

Terdahulu, Saifuddin yang mengadakan lawatan kerja ke Thailand sejak Khamis, turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Varawut Silpa-archa.

Dalam pertemuan dengan Varawut, Saifuddin berkata mereka telah membincangkan topik berhubung penahanan imigresen dan perlindungan kanak-kanak yang mana Malaysia mempunyai 20 depot imigresen dengan penghuni seramai 13,000 orang dan keupayaan depot imigresen boleh menampung lebih kurang 25,000 orang.

Beliau berkata Thailand mempunyai beberapa program alternatif penahanan yang agak ke depan, khususnya untuk kanak-kanak dengan melibatkan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan juga komuniti setempat.

“Di Malaysia, kita hanya ada satu program rumah perlindungan yang diwujudkan oleh kerajaan dan dinamakan Baitul Mahabbah iaitu satu di Nilai dan satu di Papar manakala dalam perancangan untuk mewujudkan empat lagi masing-masing di Sabah, Kelantan, Kedah dan Johor,“ katanya.

Beliau berkata ini merupakan satu pengalaman baharu mengenai pendekatan Thailand terhadap program alternatif penahanan yang boleh diterokai oleh Malaysia.

“Program alternatif penahanan untuk kanak-kanak ini dalam sejajar dengan konteks Malaysia MADANI di mana kita perlu ada sifat ehsan terhadap kelompok mereka yang masuk dan melanggar undang-undang Akta Imigresen,“ katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata pertemuannya dengan pihak UNICEF semalam juga telah mendedahkan beliau dengan penggunaan “National Screening Mechanism” dan “National Referral Mechanism”.

Beliau berkata pihak Kementerian Dalam Negeri berminat untuk mendalami kedua-dua mekanisme itu supaya proses saringan akan menjadi lebih kompeten.

“Kita akan pelajari kedua mekanisme itu supaya cara menguruskan atau cara menangani kemasukkan kelompok pendatang tanpa izin ataupun kelompok pelarian ini akan menjadi lebih kemas dan lebih teratur,“ katanya.