MELAKA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan program Mini Ulul Albab di 49 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula tahun ini, kata Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata menerusi program berkenaan pelajar disaran untuk menghafaz sekurang-kurangnya empat juzuk al-Quran sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Pelajar disarankan untuk menghafal empat juzuk al-Quran iaitu juzuk satu, dua, tiga dan ke-30 sepanjang mereka belajar di MRSM,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan LOCCA Cafe di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin.

LOCCA Cafe merupakan jenama di bawah Program Pembangunan Rangkaian Restoran Bumiputera MARA yang dimulakan sejak tahun lepas dalam usaha mewujudkan jaringan usahawan dalam bidang restoran.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata MARA memperuntukkan RM20 juta kepada usahawan di Melaka pada tahun ini merangkumi program latihan, senggaraan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan.

Beliau berkata inisiatif itu tidak terhad kepada usahawan baharu sahaja malah melibatkan usahawan sedia ada dalam usaha membantu pemain industri di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata tiada keretakan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana pakatan dan tidak mencerminkan keadaan sebenar yang berlaku.

“BN dulu ketika kita ada 14 parti komponen pun ada perbezaan pandangan tapi yang bagusnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan ia ditangani secara bijaksana dan bersemuka di dalam mesyuarat,“ katanya.