PUTRAJAYA: Panel lima hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Seorang daripada peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika dihubungi berkata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim telah membenarkan permohonan anak guamnya supaya panel lima hakim mendengar permohonan itu.

Permohonan semakan di Mahkamah Rayuan biasanya didengar oleh panel tiga hakim sahaja.

Pihak pendakwaan dan pembelaan Muhyiddin dimaklumkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli semasa pengurusan kes hari ini bahawa permohonan Muhyiddin supaya panel lima hakim mendengar permohonan semakan itu, telah dibenarkan.

Hisyam turut mengesahkan kepada Bernama bahawa 9 Julai yang ditetapkan oleh mahkamah bagi mendengar permohonan Muhyiddin berhubung kebenaran untuk menyemak keputusan panel sebelum ini, dikekalkan.

Hisyam dan peguam Datuk K. Kumaraendran, Amer Hamzah Arshad serta Low Wei Loke mewakili Muhyiddin semasa prosiding pengurusan kes, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee di pihak pendakwaan.

Peguam Muhyiddin telah menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada 19 April lepas, memohon supaya panel lima hakim mendengar permohonan semakan itu memandangkan terdapat isu penting berhubung undang-undang berkaitan bidang kuasa yang perlu ditentukan.

Pada 27 Mac lepas Muhyiddin memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan berkaitan salah guna kuasa terhadapnya, selepas Mahkamah Tinggi sebelum itu melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam notis usulnya, beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat di luar bidang kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.