KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menasihatkan pemain-pemain bola sepak segera membuat laporan polis sekiranya merasakan keselamatan diri mereka terancam.

Razarudin berkata ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dalam memastikan kejadian jenayah yang menimpa tiga pemain bola sepak kebangsaan baru-baru ini tidak berulang.

“Untuk pihak polis menjaga dan mengawasi setiap pemain bola sepak di seluruh negara, kita memang tidak mampu.

“Oleh itu saya nasihatkan mana-mana pemain bola sepak yang rasa keselamatan diri mereka terancam, rasa diekori atau diintai di rumah, segera laporkan kepada pihak polis atau ke balai polis terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta polis meningkatkan tahap kawalan keselamatan susulan insiden serangan jenayah berkenaan.

Dalam pada itu Razarudin mengulangi amarannya supaya orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung kes terbabit.

“Ini tak bagus, saya dah ulang banyak kali jangan buat spekulasi. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku sebab kita pun belum dapat motif sebenar serangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata mustahil bagi polis untuk menyiasat semua dakwaan dan spekulasi di media sosial namun jika sesuatu dakwaan berasas, pihaknya akan menjalankan siasatan.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya Faisal Halim dilapor diserang individu tidak dikenali dengan asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad lalu yang mengakibatkan beliau melecur tahap empat pada badan dan muka.

Insiden malang itu adalah yang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di bahagian kepala dan kaki selepas diserang serta disamun dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada 2 Mei lepas.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru pada Selasa.