HULU SELANGOR: Agenda pembangunan anak muda dan wanita akan menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan Pang Sock Tao, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pang, 31, berkata agenda berkenaan akan dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, saya akan berusaha untuk meneruskan segala agenda dan perancangan pembangunan di DUN KKB, yang telah disusun oleh penyandang kerusi ini sebelum ini, mendiang Lee Kee Hiong.

“Kita juga akan bergerak sebagai satu pasukan, bergerak ke hadapan, isu-isu (video tular) itu sekadar video lama, dan kini sudah berubah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

Pada PRK yang bermula hari ini, Pang yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditentang tiga pencabarnya iaitu pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pang hari ini memulakan kempennya dengan mengadakan sesi tinjauan mesra di sekitar Bandar Utama Batang Kali dan Taman Millenium, dekat sini.

Sementara itu, Khairul Azhari, 54, mahu memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di DUN berkenaan sekiranya diberikan mandat, manakala Nyau, 29, yang menggunakan logo motosikal berkata penyertaannya dalam PRK berkenaan, untuk memperjuangkan isu rakyat seperti kos sara hidup dan ekonomi.

Hafizah, 50, pula berkata gerak kerja kempennya pada PRK kali ini akan memfokuskan kepada isu semasa, selain akan melancarkan manifesto esok.

“Kita akan bertemu dan menjelaskan kepada rakyat (tentang) perjuangan kami dalam beberapa isu dan janji kami adalah untuk memperbetulkan apa yang tidak betul sekarang ini,” katanya.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.