KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penahanan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard semalam dan satu kertas siasatan dibuka berkaitan kenyataannya mengenai kasino di Forest City, Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Mahkamah Majistret di sini membenarkan Chegu Bard direman dua hari hingga esok.

“Tangkapan terhadap Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard pada 27 April berhubung hantaran (menerusi laman sosial) yang mengaitkan Perdana Menteri dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan.

“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada mana-mana Raja.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kes berkenaan masih dalam siasatan, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.