HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao hari ini memuat naik keputusan akademiknya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menjawab cabaran yang dibangkitkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari baru-baru ini.

Dalam hantaran menerusi Facebook, Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan,memuat naik keputusan pencapaian cemerlang dengan memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran.

Lima mata pelajaran itu ialah Bahasa Cina (ujian pemahaman dan penulisan), Bahasa Melayu (pemahaman dan penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pang yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Setiausaha Publisiti Cawangan DAP Pekan Ampang, turut merekodkan keputusan cemerlang dalam SPM dengan memperoleh 10A.

Keputusan cemerlang itu diperoleh bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Cina.

“Yang Berhormat Pasir Mas Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya, jadi inilah jawapannya.

“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya,” katanya.

Pang turut berterima kasih kepada ibu bapanya kerana tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak.

Sebelum ini, media juga melaporkan bahawa kelayakan akademik calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut turut dipertikai, dan susulan itu, pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor itu telah memuat naik transkrip keputusan Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.