KUCHING: Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), perlu memilih calon yang dapat menyumbang kepada kestabilan pembangunan kawasan berkenaan dan Malaysia secara amnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau percaya pengundi di kawasan tersebut, boleh membuat keputusan terbaik untuk menentukan calon paling layak untuk mewakili mereka.

“Hanya dengan kestabilan kita dapat menumpukan dan memberi fokus pada pembangunan Malaysia, baik dari segi ekonomi, keadaan sosial dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Zon Empat N48 Satok, di sini hari ini.

Selain itu Fadillah berkata beliau berharap semua pihak termasuk pemimpin politik serta jentera parti akan mematuhi arahan pihak keselamatan dan menjaga sensitiviti masyarakat sepanjang tempoh berkempen bagi pilihan raya itu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.