GEORGE TOWN: Pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang bukan hanya akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah keperluan 32,993 pengguna di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang kini terjejas juga akan lebih terjamin.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyifatkan projek tersebut sebagai sangat penting berkata ia turut memanfaatkan pusat-pusat pembangunan sedia ada, sedang dalam proses dan yang bakal diwujudkan kelak.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) amat mengalu-alukan perkembangan terbaru Projek Air Perak-Pulau Pinang yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Pada pengumuman berkaitan, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa kerajaan negeri Perak telah bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Perak melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berharap projek yang telah tertangguh selama 13 tahun tersebut akan dapat direalisasikan bagi memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat negeri itu.

Semalam, Anwar memaklumkan bahawa Perak telah bersetuju untuk membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai dan perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penyaluran bekalan air bagi fasa pertama projek tersebut akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap, dekat sini.