GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang mengadakan bengkel bersama pemegang taruh untuk memuktamadkan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang berikutan terdapat sedikit pindaan pada pelan asal.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bengkel itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi supaya kerja-kerja seterusnya melibatkan projek infrastruktur transformatif itu dapat dijalankan.

“Hari ini MRT Corporation telah memberi taklimat kepada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri berhubung projek LRT... setelah keputusan Jemaah Menteri (meluluskan projek LRT), MRT Corporation telah lakukan kerja-kerja teknikal dan mencadangkan sedikit pindaan pelan asal SRS Consortium serta penyambungan (LRT) ke Penang Sentral.

“Mesyuarat terima taklimat itu dan sebagai maklum balas, kerajaan negeri mencadangkan satu bengkel melibatkan pemegang taruh berkaitan diadakan untuk memuktamadkan jajaran kerana ada sedikit pindaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Selamat Hari Raya Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor di sini malam ini.

Chow juga berkata jajaran itu perlu dimuktamad supaya kerja-kerja lain termasuk pengambilan tanah, memuktamad reka bentuk dan lokasi stesen boleh dilakukan.

Beliau berkata beberapa jawatankuasa kerja membabitkan kerajaan negeri, MRT Corp dan agensi lain yang berperanan memantau perjalanan projek itu akan dibentuk bagi meneliti perkara-perkara teknikal supaya ia dilaksanakan mengikut jadual.

Chow turut menzahirkan penghargaan kepada MRT Corp atas input yang sangat berharga meliputi pelbagai aspek seperti operasi dan penyelenggaraan, pelaburan kontraktor awal, lintasan jambatan terpendek, depoh bersepadu serta kos projek terendah.

Pada 29 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dengan MRT Corporation dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.

Perolehan projek terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kerja-kerja untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral dan kontrak ‘turnkey’ kerja-kerja sistem dan gerabak secara bina-selenggara-pindah (BMT).