KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyantuni keluarga Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi yang terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas pada Selasa lepas.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Mohammad Amirulfaris di Taman Senawang Perdana di Seremban, Negeri Sembilan semasa Raja Permaisuri Agong bertemu balu Allahyarham, Siti Aisyah Mohd Roslan.

Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyantuni dua anak lelaki Allahyarham yang berusia tujuh dan dua tahun.

“Seri Paduka Baginda meluangkan masa bertanyakan khabar balu, kedua ibu bapa dan dua adik arwah sebelum mengurniakan sumbangan peribadi kepada Siti Aisyah,“ menurut hantaran itu.

Turut mengiringi keberangkatan Raja Permaisuri Agong ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Rosni Omar dan isteri Timbalan Menteri Pertahanan Dalilah Awaludin.

Mohammad Amirulfaris, 35, adalah antara 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter milik TLDM terhempas di Lumut, Perak semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90.

Jenazah Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan pada Khamis lepas.