MELAKA: Tiga sekawan dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamun secara berkumpulan seorang warga emas dua minggu lepas.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syukri Mohd Isa, 39, Muhammad Hafizi Azmi, 34, dan V Rakesh, 30, dan mengarahkan hukuman berkenaan dijalankan bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Mengikut pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh telah melakukan samun berkumpulan terhadap Ibrahim Rashid, 72, sehingga menyebabkannya kerugian RM400 dan mencederakan mangsa dengan kerusi plastik semasa rompakan di kawasan kebun kelapa sawit Jalan Parit Keliling di daerah Jasin pada 17 April lepas, sekitar 2 petang.

Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan hukuman penjara dan sebatan dengan mengambil kira kerugian serta kecederaan yang dialami mangsa, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan atas alasan menanggung keluarga dan perlu mendapatkan rawatan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menyewa sebuah teksi di Tampin dipandu Ibrahim untuk ke Jasin dan apabila tiba di Jalan Parit Keliling, seorang daripada tertuduh mengarahkan mangsa menghentikan kenderaan dalam kebun kelapa sawit sebelum mencekik leher serta memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, lebam mata kiri, bibir bengkak dan kaki sebelah kiri bahagian paha bengkak, manakala barang-barang seperti dompet yang mengandungi kad bank, kad pengenalan, lesen, wang tunai, telefon bimbit dilarikan tertuduh termasuk teksi jenis Proton Iswara.