SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Draf Rancangan Struktur (RS) Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), satu dokumen perancangan bagi melengkapi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025, dalam mengawal pembangunan fizikal negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata draf itu merupakan kajian semula kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor, yang belum pernah dipinda atau ditambah baik sejak diwartakan pada 2 Feb 2017, antara lain bertujuan memastikan perancangan, dasar dan polisi negeri selari di peringkat antarabangsa, Persekutuan dan negeri.

Beliau berkata bagi memastikan matlamat menjadikan ‘Selangor Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera’ tercapai, draf itu menggariskan 17 Hala Tuju strategik, 73 Dasar dan 522 Inisiatif Pelaksanaan, yang akan menjadi tonggak dalam memandu arah pemabngunan negeri Selangor untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Laporan Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) ini akan dipamerkan bermula hari ini sehingga 9 Jun depan dan orang ramai boleh mengemukakan bantahan, pandangan dan rayuan terhadap apa-apa cadangan yang terkandung dalam dokumen tersebut.

“Sebarang maklum balas atau bantahan amat dialu-alukan, agar perancangan ini tidak menjadi pelan yang gagal, sebaliknya memberi faedah kepada rakyat selain memudahkan pihak pelaksana melaksana dan mengurus projek pembangunan sebagaimana yang digariskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), di sini hari ini.

Amirudin berkata dokumen tersebut turut memberi tumpuan kepada cadangan pembangunan di kawasan pinggir bandar, sebagai pemangkin kepada kerancakan pembangunan sedia ada di bandar tersebut.

Beliau berkata selain daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak dan Sepang, dokumen itu turut memberi tumpuan cadangan pembangunan di kawasan utara dan selatan Selangor.

“Fokus pembangunan ekonomi dalam RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) juga melibatkan penerusan perancangan ekonomi tiga wilayah, iaitu Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selatan Selangor (IDRISS), Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Maritime Gateway (ZPE SMG).

“Diharap Draf RS ini dapat dijadikan rujukan oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak berkepentingan dan juga pemain industri, untuk bersama-sama memaju dan membangunkan Selangor menjelang 2035 selaras dengan pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.