Taman Tema Lost World of Tambun tutup 14 hari selepas pengunjung disyaki positif Covid-19

IPOH: Taman tema Sunway Lost World of Tambun di sini ditutup 14 hari bermula hari ini selepas seorang pengunjung disyaki positif wabak Covid-19, demikian menurut pihak pengurusan premis itu.

Menurut kenyataan Sunway Lost World of Tambun, pihaknya dimaklumkan mengenai kes itu oleh Kementerian Kesihatan semalam dan kini pengesanan kontak giat dijalankan.

Kenyataan itu menyebut, penutupan yang turut melibatkan Sunway Lost World Hotel sehingga 26 Okt ini, adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan di sekitar taman tema dan hotel untuk melindungi pengunjung serta orang ramai.

“Kami berharap orang ramai kekal bertenang. Kami komited memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah ini,” demikian menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

- Bernama