MIRI: Tiga maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan berhampiran Rumah Ngindang, KM 116 Jalan Suai-Niah, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada 6.55 petang dan pasukan EMRS, pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dan bantuan EMRS BBP Lopeng dikerahkan ke lokasi.

“Mangsa yang maut ialah Evelyn Shely Manyie, 26, Eddy Indau, 26 dan Jenging Tinsok, 39, manakala mangsa lelaki cedera ialah Garry Galviston Mantau, 34, dan Kulam Letan, 26 serta mangsa wanita cedera ialah Scrivia J. Sylvester, 39 serta kanak-kanak perempuan Evva Shakilla Bandai Evelyn Shely, tiga tahun,“ menuru kenyataan itu.

“Setibanya pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang membawa tujuh penumpang telah terbabas ke bahu jalan.

“Dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak KKM sebelum pihak Bomba tiba di lokasi,“ katanya menambah kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.