KOTA BHARU: Tiga maut manakala lima cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kampung Pahi, awal pagi tadi.

Mereka yang maut merupakan dua lelaki dan seorang wanita manakala empat lelaki dan seorang wanita cedera parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.36 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian 17 minit kemudian.

Beliau berkata seramai 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan BBP Sungai Durian dikerahkan ke lokasi dan mendapati dua Toyota Hilux telah bertembung dengan sebuah Ford Ranger.

“Terdapat mangsa yang menaiki kenderaan Toyota Hilux telah tersepit dan bomba melakukan kerja-kerja operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa mengunakan Rescue Power Unit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Kuala Krai.