SEPANG: Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Mariano Assanami Sabino Lopes tiba di Malaysia bagi menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia dijadual bermula esok di Petaling Jaya.

Beliau tiba bersama delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 5.05 petang disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Sabino mewakili Timor-Leste yang dijemput sebagai tetamu kehormat oleh Liga Dunia Islam (MWL).

Bercakap kepada media, Zulkifli berkata persidangan itu bagi meraikan peserta seluruh dunia untuk membincangkan aspek perpaduan dan mempromosi keamanan dan kedamaian.

“Malaysia ingin menjadi peneraju mewujudkan komuniti yang damai dan promosi keamanan walaupun pelbagai agama dan latar belakang,“ katanya.

Persidangan bertema ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian” dijangka dihadiri hampir 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan itu esok, yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung MWL dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Acara itu menjadi platform bagi membincangkan beberapa tema berkaitan kemajmukan, toleransi, kesederhanaan, pendidikan serta membina jambatan hubungan dan persamaan inklusif.

Di samping itu, Persidangan Majlis Ulama Asia juga akan berlangsung Rabu ini (8 Mei). Persidangan itu adalah kesinambungan daripada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 pada 30 Jun 2022.

Kedua-dua acara itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama MWL.