KLANG: Kaedah ‘kelas terapung’ boleh digunakan sebagai alternatif oleh pihak sekolah bagi penyelesaian jangka pendek berhubung isu kesesakan dalam bilik darjah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar).

Beliau berkata kelas terapung merujuk kepada kelas tidak tetap, iaitu sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan di mana-mana sahaja bilik kelas atau bilik kosong di sekolah akibat kesesakan atau kekurangan bilik darjah di sesebuah sekolah.

Menurut Fadhlina kaedah berkenaan telah dipraktikkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, di sini, yang berjaya mengurangkan masalah kepadatan pelajar dalam kelas susulan sekolah itu mempunyai pelajar melebihi 4,000 orang.

“Kita tahu kaedah ini tidak boleh digunakan di semua sekolah, ia bergantung kepada dinamika atau keadaan serta fasiliti sesebuah sekolah tetapi untuk penyelesaian jangka pendek, formula ini mungkin boleh diterapkan di sekolah tertentu,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2024 berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan di daerah Klang di SMK Meru di sini hari ini.

Fadhlina berkata berdasarkan pemerhatian, kelas terapung yang dilaksanakan di SMK Meru berjaya mengatasi isu kesesakan kelas dengan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar manakala pengurusan murid bagi penggunaan kelas juga berlaku secara teratur.

Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sudah merangka beberapa intervensi jangka panjang dan pendek bagi menyelesaikan isu kepadatan pelajar di sekolah seluruh negara, antaranya pembinaan dan penggunaan kabin di sekolah, selain menyuraikan pelajar ke sekolah berdekatan supaya bilangannya dapat dikawal dalam suasana kondusif untuk belajar.

Berhubung TSP, Fadhlina berkata ia merupakan rangka kerja lawatan KPM sebagai tindak balas terhadap isu sekolah padat yang dibangkitkan semasa persidangan Dewan Rakyat pada sesi lepas.

“Jadi petang ini kita hadir ke sekolah ini (SMK Meru) untuk meninjau pengalaman, pentadbiran dan juga dinamika pengurusan bagaimana pentadbir sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menguruskan isu sekolah padat ini,” katanya.

Fadhlina berkata setakat ini terdapat 86 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dikenal pasti sebagai sekolah padat dengan bilangan murid serta pelajar melebihi 40 orang dalam satu-satu kelas.