KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, bertujuan meringankan beban keluarga terlibat.

“Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata segala kos perjalanan terakhir mangsa yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata Lembaga Siasatan yang ditubuhkan juga telah diarahkan untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Mesyuarat Jemaah Menteri, menurut beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga akhir hayat mereka,“ katanya.

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.