JEMPOL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kuala Pilah menyerbu sebuah kilang memproses tauhu goreng di Bahau dekat sini selepas disyaki menggunakan logo halal tidak iktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Cawangan KPDN Kuala Pilah Ahmad Khuzairi Salamat berkata serbuan pada pukul 11.15 pagi semalam itu dilakukan susulan aduan orang ramai.

“Anggota serbuan menyita sejumlah tauhu goreng siap dibungkus dengan menggunakan label logo halal tidak sah termasuk sejumlah plastik pembungkus yang belum digunakan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurutnya denda boleh dikenakan bagi syarikat pertubuhan perbadanan tidak melebihi RM200,000 dan syarikat bukan pertubuhan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit bersalah.